BAITULMAKDIS: Israel semalam membebaskan 198 tahanan rakyat Palestin, di pusat pemeriksaan Beitunya, utara Baitulmakdis, hanya beberapa jam sebelum lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Condoleezza Rice.
Israel berkata pembebasan itu sebagai tanda muhibah bagi mengukuhkan kedudukan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dan bagi mempercepat rundingan damai.
Para tahanan dipindahkan dari Penjara Ofer awal pagi semalam.
Rakyat Palestin paling lama ditahan, Encik Said al-Atabeh, 57 tahun, dari Barisan Demokratik Pembebasan Palestin (DFLP) termasuk antara mereka yang dibebaskan.
'Ini satu kegembiraan buat para ibu dan rakyat Palestin. Tetapi ia cuma langkah kecil kerana ribuan orang lagi masih meringkuk dalam penjara,' kata Encik Atabeh.
Beliau ditahan pada 1977 dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam serangan bom yang mengorbankan seorang wanita Yahudi.
Kabinet Israel pada mulanya meluluskan pembebasan 199 tahanan tetapi pemeriksaan ke atas senarai tahanan mendapati seorang daripada mereka menghadapi dakwaan jenayah dan dikeluarkan dari senarai.
'Bukan senang bagi Israel hendak membebaskan tahanan. Ada individu yang dibebaskanhari ini terlibat secara langsung dalam pembunuhan orang awam,' kata Encik Mark Regev, jurucakap Perdana Menteri Encik Ehud Olmert.
'Tetapi kami faham peri pentingnya isu tahanan ini bagi masyarakat Palestin. Kami percaya tindakan ini boleh menyokong rundingan damai dan mewujudkanmuhibah,' tambah beliau.
Di bandar Ramallah, ratusan Palestin menari dan mengibarkan bendera Palestin di jalan- jalan raya menyambut ketibaan 194 tahanan lelaki dan empat wanita, yang kemudian disambut oleh Encik Abbas di Muqata, ibu pejabat Penguasa Palestin. -- AP, AFP, Reuters, Xinhua.