WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Condoleezza Rice, semalam dijadualkan ke Israel dan wilayah Palestin dalam satu lagi usaha menggerakkan rundingan damai Timur Tengah.
Jurucakap Rumah Putih, Encik Sean McCormack, berkata Cik Rice akan mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Israel dan Palestin mengenai 'usaha berterusan untuk mewujudkan kedamaian yang positif dan berkekalan di wilayah itu'.
Beliau juga akan membincangkan matlamat menandatangani perjanjian damai itu menjelang akhir tahun ini.
Perunding kanan Palestin, Encik Saeb Erakat, sebelum ini ditukil sebagai berkata Cik Rice akan bertemu dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Beliau kemudian akan mengadakan rundingan tiga hala dengan Menteri Luar Israel, Cik Tzipi Livni dan diplomat kanan Palestin, Encik Ahmed Qorei.
Israel dan Palestin telah melancarkan semula rundingan damai secara rasmi pada November lalu selepas ia tergendala selama tujuh tahun.
Semasa melawat Israel Jun lalu, Cik Rice membidas tindakan Israel meluaskan petempatan Yahudi di Tebing Barat kerana ia akan melemahkan proses rundingan damai.
Sebelum itu, Cik Livni memberi amaran bahawa usaha tergesa-gesa memeterai rundingan damai pada tahun ini juga hanya akan menimbulkan masalah.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ialah kandungan dan pemahaman yang dicapai dengan Palestin dan bukan bila rundingan itu dimeterai. -- AFP.