SYDNEY: Australia semalam berkata ancaman serangan pengganas di dua wilayah di Indonesia telah berkurangan.
Namun, negara itu masih menasihati rakyatnya agar tidak melawat Indonesia buat masa ini.
Nasihat perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia itu berkata risiko keganasan di Sulawesi Tengah dan di wilayah Maluku telah berkurangan.
Meskipun demikian, Australia menyarankan agar rakyatnya menimbang semula keperluan mereka melakukan perjalanan ke Indonesia, termasuk ke Bali, ekoran 'ancaman serangan pengganas yang sangat tinggi'.
'Kami terus menerima laporan bahawa para pengganas sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas pelbagai sasaran, termasuk kepentingan barat dan tempat yang sering dikunjungi warga asing,' kata nasihat perjalanan yang terbaru itu.
Ia menambah, walaupun beberapa pemimpin kanan kumpulan pengganas berjaya ditangkap baru-baru ini, ancaman serangan masih wujud.
Nasihat perjalanan itu pertama kali dikeluarkan selepas pengeboman kelab malam di Bali pada Oktober 2002, di mana 88 rakyat Australia terkorban.
Lagi empat rakyat Australia terbunuh dalam satu serangan nekad di sebuah restoran di Bali pada Oktober 2005.
Pada September 2004 pula, kedutaan Australia di Jakarta menjadi sasaran serangan bom.
Sementara itu, jurucakap ehwal luar Australia berkata pihaknya telah menarik balik nasihat kerajaan yang melarang rakyat negara itu pergi ke Maluku dan Sulawesi Tengah.
Ini memandangkan keadaan keselamatan di dua wilayah itu bertambah baik.
Di sebalik perkembangan itu, masih terdapat risiko serangan bom dan pertempuran berlaku di Sulawesi Tengah dan di Maluku, kata nasihat perjalanan yang dikeluarkan. -- AFP.