SATSAN (Myanmar): Pemerintah junta Myanmar menolak dakwaan kononnya mereka tidak melakukan secukupnya untuk membantu mangsa Taufan Nargis.
Sebaliknya, tempat tinggal sementara, makanan, sekolah dan penjagaan kesihatan disediakan manakala pelan jangka panjang untuk pembinaan serta pemulihan semula sedang dijalankan.
Timbalan Menteri Luar Myanmar, Encik U Kyaw Thu Thu, yang mempengerusikan Pasukan Petugas Kemanusiaan Asean berkata rumah-rumah sedang dibina berdasarkan keperluan di kawasan yang terjejas.
Sekurang-kurangnya dua syarikat pembinaan swasta telah pun memulakan kerja di beberapa kawasan perbandaran.
'Kami ada tiga jenis rumah berdasarkan saiz keluarga,' katanya kepada sekumpulan wartawan Asean yang diundang pemerintah Myanmar dan Sekretariat Asean untuk meninjau kawasan delta Irrawady yang terjejas ekoran bencana Taufan Nargis pada 2 dan 3 Mei lepas.
Hampir 140,000 orang maut atau hilang dalam bencana yang melanda selatan Yangon itu.
Junta tentera dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa apabila, pada mulanya, enggan mengeluarkan visa kepada pasukan petugas antarabangsa.
Hampir dua bulan selepas kejadian, sebahagian besar kawasan masih digenangi air dan mengakibatkan pengangkutan darat terputus sehinggakan hanya sungai dan terusan menjadi satu-satunya laluan perjalanan. -- Bernama.