KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin menafikan anggotanya melakukan provokasi dan membakar bendera negara dalam kejadian rusuhan di Batu Burok, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz, berkata dakwaan itu tidak sewajarnya dibuat kerana polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenainya.
'Ia fitnah! Kita (polis) tidak buat kerja itu,' katanya ketika diminta mengulas dakwaan bahawa polis yang melakukan provokasi sehingga menyebabkan rusuhan itu. Kita sedang siasat kes itu dari pelbagai sudut... saya minta semua pihak bersabar (menunggu hasil siasatan),' katanya.
Tan Sri Mohd Najib diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohamad Sabu dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Shamsul Iskandar Mohd Akin, bahawa mereka yakin lelaki yang membakar bendera itu adalah anggota polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Superintenden Khairi Ahrasa, pula berkata mereka yang terlibat membakar bendera negara itu akan disiasat di bawah Seksyen 440 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat semasa rusuhan.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda.
Dalam kejadian Sabtu lalu, lebih 200 orang merusuh apabila polis cuba menyuraikan satu perhimpunan haram.
Ini menyebabkan empat anggota polis cedera ekoran diserang perusuh sementara dua orang awam dimasukkan ke hospital kerana terkena tembakan polis.
Polis setakat ini telah menahan reman empat lelaki bagi membantu siasatan.
Mereka yang direman termasuk seorang yang cedera terkena tembakan dan kini dirawat di hospital. -- BHM.