MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

26 Apr 2006

KOMENTAR

SOROTAN SERANTAU
Indon terguris sikap Australia

Oleh
Nahar Azmi Mahmud
Penulis Khas

KINI isu Papua menghiris jalinan Indonesia dan Australia.

Ia bermula apabila Australia memberikan visa suaka kepada 42 penduduk Papua yang meminta perlindungan politik pada Januari lalu.

Padahal, Australia pernah menolak rayuan sedemikian daripada pesuaka Afghanistan dan negara-negara Asia yang lain.

Begitu marah, Indonesia telah memanggil pulang dutanya di Canberra.

Untuk menyejukkan hati, Australia mengutuskan diplomat kanannya ke Jakarta, Encik Michael L'Estrange. Yang anehnya, nama beliau 'estrange' bermakna 'terpisah'.

Isu Papua

Papua atau nama dulunya Irian Jaya (1963-2001) merupakan kawasan 'dara' Indonesia. Ia seluas 410,000 kilometer persegi atau 21 peratus keluasan darat Indonesia.

Selepas Indonesia merdeka pada 1949, penjajah Belanda masih menegaskan haknya ke atas Papua. Selepas serangan tentera Indonesia dan tekanan diplomatik antarabangsa, Belanda melepaskan Irian Jaya setelah satu pungutan suara diadakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika pemerintahan Presiden Suharto goyah, gerakan Papua merdeka bergelora terutama di ibu kota wilayah, Jayapura. Bahkan bendera bintang kejora pernah dikibarkan di sana.

Timor Timur terlepas daripada tangan Indonesia ekoran pungutan suara di bawah riayah PBB dan giat dikempenkan menerusi Australia.

Dengan berlatarkan sejarah itu, dapat difahami sikap curiga Indonesia akan niat sebenar Australia.

Ketegasan Yudhoyono

Pemerintah Indonesia telah memberi semacam kata dua kepada Australia agar tidak campur tangan dalam ehwal negaranya dan segera menghantar pulang para pesuaka Papua itu.

Malah, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sendiri telah memberi jaminan kepada kerajaan Australia bahawa mereka akan diberi layanan yang sebaik mungkin selepas dihantar pulang. Namun, Australia masih tidak berganjak.

Difahamkan antara pesuaka tadi ialah Herman Wainggai, aktivis Organisasi Papua Merdeka (OPM). Beliau pernah dijatuhi hukuman penjara di Indonesia atas tuduhan menderhaka.

Bapa saudaranya, mendiang Tom Wainggai, juga seorang pejuang kemerdekaan, pernah dipenjara selepas mengibarkan bendera Papua merdeka pada 1988 yang lalu.

Kerajaan Australia menegaskan keputusan itu bukan atas dasar politik tetapi hemah para pegawai imigresennya. Namun Indonesia sangsi.

Imej Indonesia di mata warga Australia kian malap. Pertama-tama, ia dikaitkan dengan isu Timor Timur. Kedua, ia dipalitkan dengan pengeboman Jemaah Islamiyah (JI) di Bali (2002-2004).

Layanan setimpal

Isu hak asasi penduduk Papua bukanlah baru.

Kes kerosakan alam dan skandal rasuah syarikat Freeport (dari Amerika dan ada kaitannya dengan Australia) yang melombong tembaga dan emas terbesar dunia di Papua masih belum selesai.

Penduduk Papua marah Freeport dan pemerintah pusat Jakarta menangguk kekayaan peribumi.

Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Juwono Sudarsono, ditukil media Indonesia sebagai mengakui bahawa ada beberapa kejadian yang menjejas imej tentera Indonesia seperti berkasar ke atas penduduk Papua.

Dalam pada itu, warga Indonesia juga kian menyampah dengan sikap Australia dan menuntut pemerintah Indonesia memutuskan saja hubungan diplomatik.

Menteri Luar Australia, Encik Alexander Downer, mengakui bahawa hubungan Canberra dengan Jakarta amat keruh.

Anehnya, Perdana Menteri Australia, Encik John Howard, menyindir sikap Indonesia itu sebagai hanya cuba mengalihkan pandangan daripada masalah dalam negeri.

Persatuan Pengimport Indonesia telah menyeru agar dipulaukan produk Australia.

Perdagangan dua hala telah berkembang dan mencecah AS$5.2 bilion tahun lalu. Indonesia merupakan rakan kongsi Australia yang ke-13 besarnya.

Kira-kira 400 buah syarikat Australia kini terlibat dalam kerja-kerja melombong dan menggali minyak di Indonesia.

Kini 18,000 pelajar Indonesia menuntut di Australia manakala pelancong Australia gemar mengunjung Indonesia yang menarik dan murah walaupun selepas peristiwa pengeboman Bali.

Dr Yudhoyono mendapat pujian dunia kerana menamatkan krisis Aceh selepas 30 tahun. Mungkin formula Aceh akan digunakan untuk Papua.

Jika ini dapat dicapai, mungkin pesuaka Papua tadi pula yang memohon untuk pulang.


 
   
 

KOMENTAR

 
 
Sikap Kita Terhadap Homoseksual