SINGAPURA ialah sebuah negara sekular dan sejauh ini tiada timbul masalah agama antara penduduknya. Pemerintah sering memberi peringatan akan perkara ini sehingga keharmonian kaum dan agama umumnya tidak tergugat.
Namun, baru-baru ini saya tersentak apabila membaca sehelai kain rentang di Stesen MRT City Hall mengenai satu pementasan yang akan berlangsung pada 23 September ini di Drama Centre.
Pementasan ini dinamakan Hossan Leong Show.
Dalam kapsyen di sudut kain itu tertera: 'Comelah! I teach you how to make vegetarian, halal 'babi' pongteh!'
Saya kesal dan musykil kenapa kapsyen seperti itu digunakan bagi tatapan umum? Tidakkah ada rasa tanggungjawab dan peka kepada masyarakat berbilang agama di sini?
Menurut ajaran Islam dan masyarakat Muslim, isu halal dan haram adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan bahan senda gurau. Saya juga berpendapat kapsyen itu agak mengelirukan, khususnya kepada masyarakat Muslim, dan menganggapnya sebagai satu perkara serius.
Masyarakat Singapura kian matang, namun usahlah kita meremehkan perkara-perkara berkaitan sesuatu kaum atau agama yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dan marah sesetengah pihak.
Saya harap pihak berwenang seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dapat memberi teguran kepada pihak penganjur pementasan itu dan saya juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada beberapa pemimpin yang saya kenali.
Mungkin pihak penganjur menganggap perkara itu remeh dan tidak menimbulkan masalah, namun saya harap teguran ini dapat mengingatkan mereka agar lebih berhati-hati apabila menggunakan perkataan halal haram atau apa jua yang menyentuh amalan masyarakat beragama di sini.