Mudah cetak
E-mel
2 Dis 2008
KOMENTAR
Awas kebangkitan anak muda Tibet
PEMIMPIN golongan muda Tibet dikatakan akan meneruskan perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan penuh negeri itu dari China. Dalam pada itu golongan tua masih memilih jalan tengah dengan harapan negeri itu akan diberi kuasa autonomi yang lebih luas.
Pertikaian tentang strategi mana yang lebih sesuai bagi perjuangan mereka, menurut para pemerhati politik, berpunca daripada rasa kecewa yang dilahirkan pemimpin agama Tibet, Dalai Lama, yang baru-baru ini berkata jalan tengah yang diperjuangkan untuk mendapatkan kuasa autonomi yang lebih luas bagi Tibet nampaknya sudah tidak berhasil.
Sejak 1988, Dalai Lama telah memutuskan bahawa strategi yang baik diperjuangkan rakyat Tibet bagi negeri mereka ialah mendesak autonomi yang lebih luas dan bukan kemerdekaan penuh.
Beberapa wakil Dalai Lama semasa menghadiri satu rundingan yang berlangsung di Beijing baru-baru ini telah menekankan peri pentingnya negeri itu diberi kuasa autonomi yang lebih luas.
Malah, mereka telah membentangkan kepada pihak China satu memorandum mengenai tuntutan autonomi yang mereka buat untuk masa depan Tibet.
Namun, seorang pegawai tinggi China, Naib Menteri Zhu Weiqun, dipetik sebagai berkata China tidak akan dapat memenuhi tuntutan Dalai Lama dan menganggap para wakilnya sebagai pemimpin Tibet dalam pembuangan.
Kenyataan beliau itu merupakan satu jawapan rasmi Beijing yang pertama mengenai rundingan yang diadakan antara para pemimpin China dengan para wakil Dalai Lama yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 5 November lalu.
Ini merupakan perbincangan yang kesembilan diadakan sejak 2002 dan yang pertama diadakan sejak Beijing menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik pada Ogos tahun ini.
Kerajaan Tibet dalam pembuangan telah menyalahkan pihak berkuasa China kerana gagalnya sidang terbaru mengenai masa depan Tibet itu.
Speaker parlimen Tibet dalam buangan, Encik Karma Chophel, mengatakan jika China tidak mahu memberi autonomi kerantauan kepada Tibet, mereka sepatutnya menyatakan lebih awal tentang pendirian mereka supaya seluruh rakyat Tibet mengetahuinya.
Pemerintah China menegaskan bahawa ia tidak akan berdiam diri dan akan mengukuhkan kedudukannya di rantau itu selepas melihat rusuhan ganas dan bantahan anti-China yang berlaku pada Mac lalu.
Berikutan dengan rusuhan ganas itu, seramai 55 rakyat Tibet telah dijatuhi hukuman penjara kerana peranan mereka dalam huru-hara di Lhasa, ibu negeri Tibet.
Hukuman penjara yang dijatuhkan itu berkisar dari tiga tahun sehingga penjara seumur hidup.
Mengikut laporan media berikutan dengan rusuhan ganas itu, polis China telah memberkas seramai 1,217 orang dan daripada jumlah itu, 1,115 orang telah dibebaskan.
Seramai 18 orang awam dan seorang pegawai polis telah terbunuh sementara 381 orang awam dan 241 anggota polis telah cedera.
Pihak berkuasa China telah menuduh Dalai Lama menghasut rusuhan itu. Dalai Lama telah melarikan diri pada 1959 selepas berlaku satu pemberontakan yang gagal terhadap pemerintah China.
Sejak itu, beliau kini hidup bersuaka di India. Sejak itu beliau gigih berkempen sehingga mendapat simpati dan sokongan dunia, termasuk India yang memberikan kota Dharamsala, di utara India, sebagai markasnya.
Para pakar berpendapat bahawa strategi anti-China oleh penduduk Tibet akan memaksa pemerintah China bertindak lebih tegas lagi.