MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

29 Nov 2008

KOMENTAR

Kebangkitan Obanomik untuk bela ekonomi Amerika

Sabtu, 29 November 2008

PENAMPILAN pasukan ekonomi bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Hussein Obama, tampak disambut bercampur-baur oleh pasaran. Encik Paul A. Volcker telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Pemulihan Ekonomi. Beliau, yang dianggap paling veteran dalam memandu ekonomi Amerika, akan menyertai Presiden Bank Simpanan Federal New York, Encik Timothy F. Geithner, yang akan menjadi Setiausaha Perbendaharaan. Mantan setiausaha perbendaharaan zaman Clinton, Encik Lawrence H. Summers, pula akan mengetuai Majlis Ekonomi Kebangsaan.

Bagaimana akal-akal terbaik di Amerika dapat membantu Encik Obama dalam membetulkan suasana muram, tidak yakin dan panik yang mewarnai ekonomi Amerika? Atau, hal ini hanyalah cerminan cara Encik Obama, seorang senator yang suka menghimpunkan para pemikir terbaik saja? Hakikatnya, selaku bakal ketua negara kelak, keputusan perih akan ditentukannya juga walaupun sebijak mana nasihat para pembantunya.

Kalangan para pakar ekonomi berpendapat Amerika kini memerlukan sentuhan Encik John Maynard Keynes, penasihat ekonomi Britain dalam zaman Kemelesetan Besar 1930- an. Encik Keynes menetapkan asas campur tangan pemerintah demi memantapkan ekonomi menerusi pelaburan besar terutama prasarana dan penghasilan pekerjaan. Namun gagasan Keynes telah digantikan dengan faham moneter Milton Friedman yang menetapkan sistem pasaran bebas saja dengan campur tangan kecil pemerintah. Ternyata masalah Amerika kini ialah pemerintah seperti jahil akan gerak tindak bank dan syarikat insurans sehingga mencetuskan aset beracun yang di luar kawalan.

Sebagai adikuasa tunggal dan ekonomi terbesar dunia, memang Amerika bertanggungjawab membereskan masalahnya secepat mungkin. Ia telah merayu bantuan banyak negara terutama China yang kini menyimpan bon perbendaharaan Amerika yang terbesar. Tampaknya rayuan Amerika berbalas dalam sidang G20 di Washington dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Lima, Peru. Kegawatan ekonomi memerlukan langkah berani, pasti dan jitu. Oleh itu, pasukan ekonomi Encik Obama tidak mampu gagal untuk memulihkan keyakinan pasaran dengan terpandu.

 
   
 

KOMENTAR

 
 
Sikap Kita Terhadap Homoseksual