DUNIA masih ingat ikrar Presiden Indonesia yang pertama dipilih secara langsung, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, untuk memerangi pengganasan dan rasuah sebagai agenda utamanya. Sedang pengganasan telah mula dapat dibendung, medan rasuah masih sukar lagi. Memang terdapat banyak pegawai tinggi dan anggota parlimen yang kian diheret ke mahkamah sabit kesalahan rasuah. Namun angkanya masih dianggap kecil.
Baru-baru ini, Indonesia disentakkan dengan kesaksian mantan Ketua Biro Gabenor Bank Indonesia (BI iaitu bank pusat Indonesia), Encik Rusli Simanjuntak, di mahkamah. Menurutnya, BI telah mengamalkan pemberian habuan kepada para anggota Dewan Perwakilan Rakyat (parlimen) sejak 1970. Habuan diberikan, katanya, kerana DPR menentukan 'hidup' BI.
Sebelum ini, seorang anggota DPR yang berpengaruh dan ketua jawatankuasa kewangan, Encik Hamka Yandhu YR, menyatakan bahawa semua anggota Suruhanjaya Kesembilan DPR (1999-2004) yang berjumlah 52 orang telah menerima dana daripada BI. Gambaran ini jelas menunjukkan betapa akar rasuah telah berserabut ke dalam tunjang pemerintahan sehingga sukar dicabut. Tidak hairanlah Transparency International, sebuah badan bebas pemantau rasuah dunia, telah meletakkan Indonesia antara negara yang tinggi rasuahnya di dunia. Bahkan rasuah telah dikenal pasti sebagai penghalang utama kemajuan negara gugusan ribuan pulau ini daripada menjayakan potensi sebenarnya.
Tetapi bagaimanakah memutuskan ikatan antara BI dan DPR? Sikap pemerintah Dr Yudhoyono dalam memberikan kebebasan kepada badan pencegah rasuah untuk bertindak merupakan langkah terbaik buat sekian lama. Bahkan tinjauan antarabangsa menunjukkan bahawa reformasi Indonesia kian meraih keyakinan pelabur. Langkah selanjutnya ialah memastikan pembentukan badan bebas yang bermandat besar untuk memastikan rasuah dapat dihapuskan pada setiap lapisan masyarakat.
Sistem kehakiman Indonesia perlu dipertingkat agar lebih cekap dan mulus dalam melaksanakan tugasnya, terutama mengendalikan kes rasuah. Bahkan media sehingga gerakan akar umbi Indonesia wajar diberi peluang mendedah perasuah dengan telus dan teratur menurut perundangan. Pokoknya, usaha ini tidak bersifat suatu pengkhianatan sehingga mengheret mereka yang tidak bersalah. Kejayaan Indonesia memerangi rasuah akan menjadi contoh kepada dunia.