Mudah cetak
E-mel
20 Dis 2003
EKONIAGA
Kos niaga rendah, penduduk muda Vietnam tawar peluang besar bagi Singapura
VIETNAM menawarkan peluang perniagaan yang besar bagi peniaga Singapura terutama dengan kos perniagaannya yang rendah, kata para peniaga Singapura yang telah beroperasi di sana.
Singapura merupakan pelabur asing terbesar di Vietnam dan para peniaga setempat berkata penduduknya yang muda dan besar - mencapai 80 juta - merupakan satu pasaran yang begitu luas di Asean.
Mereka juga berkata pasaran buruh di Vietnam dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan sentiasa ghairah mendapatkan kemahiran baru.
Ini didedahkan dalam forum Perniagaan Singapura-Vietnam yang dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) semalam yang disertai 200 peniaga setempat.
Mereka yang menyertai forum itu juga termasuk 30 peniaga dan pegawai pemerintah Vietnam yang diketuai oleh Presiden Perhimpunan Nasional Vietnam, Encik Nguyen Van An. Ia turut dihadiri Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi.
Antara peniaga yang berkongsi pengalaman dengan peserta forum itu adalah pengarah serantau Intraco Ltd, Encik Lim Tau Boon.
Forum itu juga mendedahkan bahawa ekonomi Vietnam dijangka tumbuh antara 7.2 peratus dengan 7.3 peratus tahun ini, kedua paling tinggi di Asia selepas China.
Sejajar dengan potensi besar di Vietnam itu SBF semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Vietnam bagi meningkatkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua masyarakat peniaga Vietnam dan Singapura.
MOU itu ditandatangani Naib Pengerusi SBF, Encik Umar Abdul Hamid, dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perusahaan Vietnam, Encik Pham Gia Tuc.
Ketika berucap, Encik Umar berkata hubungan Singapura-Vietnam telah berkembang dan semakin bertambah kukuh sepanjang beberapa tahun lalu.
'Sepanjang lima tahun lalu jumlah dagangan meningkat lebih 50 peratus daripada $3,240 juta dalam 1998 kepada $5,406 juta tahun lalu.
'Ini adalah satu peningkatan yang penting memandangkan tempoh yang singkat itu.
'Saya yakin kita boleh melakukan banyak lagi secara bersama bagi meningkatkan lagi jalinan kerjasama yang menguntungkan,' ujar beliau, yang juga Presiden Kehormat Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Antara lain, MOU itu bertujuan membolehkan SBF bertukar maklumat mengenai pameran antarabangsa dan promosi dagangan. Ia juga bertujuan menggalak dan menyokong pertukaran misi dan delegasi dagangan atara kedua negara.
Encik An, dalam ucapannya berkata Singapura masih tetap menjadi pelabur asing utama Vietnam dengan 283 projek dan pelaburan mencapai AS$7.3 bilion ($12.5 bilion) pada akhir Julai lalu.
'Dalam tujuh bulan pertama tahun ini, Singapura mempunyai 14 lagi projek dengan jumlah pelaburan mencapai AS$39.3 juta,' katanya.
Forum SBF itu di sokong oleh dewan-dewan perniagaan India, China dan Melayu setempat.