MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
SERASI BERNIAGA BERSAMA: (Dari kiri) Cik Hanisah Zainal, Cik Mona J, Cik Nurhafizah Jumaat, Cik Islianah Abdul Rahman, salah seorang pempamer dalam acara itu yang dikenali sebagai Cik Aida dan Cik Salma Bamadhaj memanfaatkan bakat masing-masing untuk mengembangkan perniagaan dalam talian. -- Foto TAUFIK A. KADER
Mudah cetak
E-mel

30 Mac 2010

EKONIAGA

Minat niaga di Internet gabungkan empat usahawan wanita dalam pasar lambak mini

Oleh
Atiyyah Mohd Said

MINAT berniaga melalui dalam talian dan hasrat mengatasi persaingan dalam dunia perniagaan melalui Internet telah menemukan empat usahawan wanita dalam talian.

Dengan bakat dan kepakaran dalam perniagaan masingmasing, empat usahawan tersebut - Cik Islianah Abdul Rahman, Cik Salma Bamadhaj, Cik Nurhafizah Jumaat dan Cik Hanisah Zainal - bergabung tenaga dan menganjurkan pasar lambak mini.

Penganjur utama acara itu, Cik Islianah, memiliki perniagaan alas dalam tudung di bawah jenama Alya Designs manakala Cik Salma merupakan seorang pereka pakaian lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Cik Nurhafizah pula menjual pakaian dan aksesori untuk bayi sementara Cik Hanisah menjual aksesori dan beg wanita.

Acara pada Sabtu lalu yang menampilkan pelbagai produk seperti tudung, kerongsang dan pakaian bayi berjaya menarik lebih 200 pelanggan, menurut Cik Islianah.

Secara keseluruhan, mereka memperoleh penjualan bernilai $2,000 menerusi pasar lambak mini yang diadakan buat julung-julung kali itu.

Dengan bantuan usahawan wanita mapan, Cik Mona J, mereka menyewa ruang kedai Butik Mona J di Bussorah Street pada harga minimum.

Cik Islianah yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dalam talian setelah berhenti kerja sebagai penterjemah dua tahun lalu berkata idea pasar lambak mini timbul apabila beliau dan Cik Salma bertemu di sebuah pasar lambak.

'Kami terfikir untuk mengadakan satu acara yang bukan sekadar pelanggan datang dan pergi tetapi juga padat dengan kegiatan. Maka itu pasar lambak mini kami juga termasuk kegiatan seperti pertunjukan pemakaian tudung, pertandingan bayi merangkak dan pameran fesyen dan ternyata ia berhasil,' ujarnya.

Peniaga berusia 25 tahun itu menjelaskan, acara seperti ini penting untuk mendapatkan pendedahan.

'Kami lihat sekarang ramai yang menceburi perniagaan dalam talian dan ada yang menjual produk yang sama dan ini memberikan persaingan sengit bagi kami.

'Jadi saya fikir, jika kami dapat memanfaatkan kelebihan dan bakat satu sama lain, kami berupaya menarik lebih ramai pelanggan dan meluaskan lagi rangkaian kami.

'Kami sedar bahawa jika kami berdiri sendiri tidak mungkin kami berjaya kerana kadangkala ada yang lebih baik atau lebih pakar dalam sesuatu bidang atau produk. Jadi, dengan bergabung tenaga seperti ini ia dapat menambah nilai,' terang Cik Islianah yang membekalkan produknya ke Butik Mona J.

Selain itu, tambahnya, acara seperti ini memberi peluang yang baik untuk berinteraksi dan bertemu pelanggan kerana sebagai peniaga dalam talian, mereka jarang bertemu para pelanggan.

'Dengan sambutan baik yang diterima, saya dan Kak Mona merancang untuk mengadakan acara ini dua kali sebulan dengan peniaga dalam talian yang berbeza-beza agar mereka menerima pendedahan,' tambah Cik Islianah.




 
   
 

EKONIAGA

 
 
Penjualan rumah privet naik 3.9%
 
 
Robinsons pindah ke The Heeren tahun depan
 
 
Kajian dapati 33% pengguna komputer Singapura miliki dan guna sofwe tiruan
 
 
Jualan runcit setempat tumbuh kukuh Mac lalu